“BELI & PENGHANTARAN BARANG DENGAN APLIKASI MYCAR”

SETIA ALAM, 4 APRIL 2020MyCar hari ini melancarkan perkhidmatan tambahan di dalam aplikasi MyCar yang dikenali sebagai SuperHelper. MyCar yang sebelum ini sudah sinonim dengan perkhidmatan pengangkutan e-hailing telah mengadakan inisiatif baru untuk memudahkan rakyat Malaysia, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan khidmat penghantaran dengan menggunakan aplikasi MyCar di mana sahaja perkhidmatan MyCar berada di seluruh negara. 

Kelebihan utama SuperHelper ini adalah taburan capaian pemandu MyCar yang ramai di kesemua bandar utama di Malaysia. Dalam masa yang sama, MyCar juga menawarkan perkhidmatan Shop For You yang dapat membantu pengguna membeli barangan pilihan di mana-mana premis barangan keperluan. Caj perkhidmatan yang berpatutan akan dikenakan bagi pembelian apa sahaja barangan dan untuk kuantiti yang banyak. Dalam kata lain, pembeli boleh meminta pemandu MyCar untuk membeli barang yang dihendaki di premis yang disukai mereka dengan jumlah yang diperlukan.

Di samping itu, servis SuperHelper oleh MyCar ini juga diharapkan dapat menjana pendapatan pemandu yang terjejas akibat dari penularan wabak COVID-19. Melalui SuperHelper ini, orang ramai tidak perlu lagi keluar dari rumah bagi membeli barangan keperluan harian, hanya gunakan Aplikasi MyCar untuk memesan, membuat pembayaran dan pesanan akan dihantar terus ke rumah oleh pemandu MyCar

Perkhidmatan barangan yang ditawarkan antaranya adalah makanan siap dimasak, ubat-ubatan/barangan farmasi, barangan keperluan harian, barangan dapur kering dan basah, gas memasak, bungkusan, surat dan juga apa sahaja bentuk pembelian dan penghantaran yang sah di sisi undang-undang.

Pegawai Perhubungan MyCar, Puan Nur Amira Ahmad memberitahu, pengguna juga boleh membuat tempahan sehari lebih awal agar pembelian dapat dibuat dengan lebih awal dan dihantar pada waktu yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Ini kerana, pembelian barang di premis mungkin akan mengambil masa yang lama disebabkan oleh Amalan Penjarakan Selamat yang diamalkan oleh semua premis perniagaan. 

Melalui SuperHelper, rakyat Malaysia dapat bersama-sama membantu untuk menyekat penularan wabak COVID-19 dengan tidak perlu bersesak-sesak untuk membeli barangan keperluan di tempat awam seperti premis jualan dan pasar raya atau sebagainya. Kami di MyCar juga mengambil inisiatif ini bagi mengurangkan pergerakan awam di luar sana dengan cara memudahkan orang ramai membeli dan membuat pesanan melalui servis SuperHelper ini. 

Stay at Home, We Shop and Deliver for You.